Sabtu, 28 Mei 2011

Doa Ketika Di Dalam Kesusahan






لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ 



La ilaha illa anta. Subhanaka inni kuntu minaz zolimin


Ertinya :"Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah melainkan engkau, ya Allah. Maha Suci engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang membuat zalim." 



SURAH AL-ANBIYAK(21)


Bagi ibu-ibu yang ingin melahirkan bacalah doa ini. Allah akan memudahkan untuk bersalin. Insyaallah.

Doa Memohon Ilmu, Rezeki dan Amalan yang Barokah



للَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Allahumma inni as aluka ‘ilman naafi’aa wa rizqan toyyibaa wa ‘amalan mutaqabbalaa

Maksudnya:

“Ya Allah, sungguh aku memohon kepadaMu ilmu yang manfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima.”

(HR. Ibnu As-Sunni dan Ibnu Majah)

Doa Mendapat Anak yang Soleh




رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

" Rabbi hablii minashshaalihiina "

Maksudnya:-
“Ya Tuhanku, anugrahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh.”
(Surah Ash-Shaaffat:  Ayat 100)

Jumaat, 27 Mei 2011

Mestikah Penjodohnya Penzina Juga


Ustaz, saya nak bertanya adakah seorang gadis yang pernah membuat zina, tetapi telah bertaubat dengan sesungguhnya. Adakah dia akan mendapat jodoh penzina juga. sedangkan dia benar-benar telah bertaubat dan berusaha menjadi wanita solehah.
Jawapan Ustaz :
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, jika seseorang sudah bertaubat dengan sebenar-benarnya (taubat nasuha), nescaya bukti nyata dan jelas akan hasil taubatnya yang tulen adalah dengan perubahan seluruh gaya hidupnya yang berkaitan hubungan lelaki dan wanita.
Jika seseorang mendakwa atau merasa diri sudah bertaubat, namun gaya hidup lamanya seperti :
  1. Rutin hubungan kawan dan rakan dengan lelaki masih aktif
  2. Masih keluar makan, berjalan berdua-duaan dengan lelaki samada urusan kerja atau peribadi
  3. Masih ber 'boyfriend' aktif dengan dating dan chatting intim di malam hari, cuma kononnya kali kini dengan seorang 'ustaz' atau seseorang yang 'jaga solat lima waktu'.
Jawapnya; peluang untuk mendapat suami penzina akan terbuka luas seperti dahulu..
Taubatnya mestilah dengan perubahan ketara dalam semua gaya hidup dan cara hubungannya dengan lelaki. Cara pakaiannya juga sepatutnya berubah, mungkin dari membuka aurta kepada tutup, dari tutup separa kepada tutup penuh, dari tudung glamour munafiq (hakikatnya membuka aurat) kepada tudung muslimah sejati.
Hanya dengan demikian, mata-mata lelaki soleh akan mula melihat dan masuk menghantar wakil kepada ibu bapanya.
Mata Lelaki Soleh
Mata lelaki soleh tidak ingin melihat kepada wanita yang bercampur baur dengan teman lelaki sekerja, 'bertepuk bertampar', bergurau senda, berdating sana sini dan berdua-duaan. Kecuali mata lelaki 'soleh' luarannya (penampilan fizikalnya) namun 'tidak soleh' dalamannya, mereka yang seperti ini akan terus berminat kepada mana-mana jenis wanita.
Lelaki Zina Untuk Perempuan Zina?
Akhirnya, Allah SWT berfirman : "Lelaki-lelaki yang berzina tidak akan mengahwini melainkan wanita yang berzina, atau wanita musrik dan wanita yang berzina tidak akan mengahwini lelaki kecuali yang berzina atau musyrik." (Surah An-Nur : 3)
Dalam ayat lain Firman Allah : "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki keji adalah untuk wanita-wanita yang keji, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik.." ( Surah An-Nur : 26 )
Ayat di atas menyebabkan ulama berbeza pandangan dalam hal berkahwin dengan sesorang yang telah berzina. Ayat di atas secara sepintas lalu, kelihatan mengharamkan berkahwin dengan kumpulan penzina ini kecuali seorang penzina juga.
Walaubagaimanapun, menurut pandangan yang terkuat; hukum ayat di atas telah di 'nasakh' kan dengan ayat yang mengharuskan berkahwin dengan semua muslim dan muslimah yang masih boleh berkahwin. Iaitu ayat surah An-Nur ayat 32 . Ia adalah pandangan majoriti ulama. (Al-Jami' li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 6/112 ; cet Dar al-Kutub al-Ilmiah)
Perlu diingat juga, terdapat sesetengah keadaan Allah swt memberikan jodoh lelaki atau wanita 'jahat'  kepada individu yang baik atau amat baik. Ia juga tidak bercanggah dengan ayat di atas.
Hikmah yang Allah Maha Mengetahui.. amat besar kemungkinan yang soleh tersebut berjaya menjadi lebih soleh dan musleh (membantu menjadikan seseorang itu menjadi soleh) apabila mendapat pasangan kurang baik. Lantaran pengaruh dan kekuatannya, hingga beliau menjadi semakin tinggi martabatnya di sisi Allah manakala pasangannya yang jahat menjadi soleh dan solehah.  
Tatkala itu, pasangan individu kurang baik boleh sahaja menjadi anugerah terbesar buat sebilangan individu yang terpilih menjadi lebih baik dengannya.
Namun boleh berlaku juga sebaliknya, yang jahat bertambah ultranya, yang baik merudum jatuh. Nauzubillahi min zalik (semoga kita dijauhkan daripadanya).
By Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman

Khamis, 26 Mei 2011

Lambat Dapat Zuriat - Adakah Mandul?


Saya berusia 29 tahun dan mendirikan rumah tangga kira-kira enam bulan namun masih belum ada tanda hamil.
Saya mengalami masalah angin yang banyak dalam badan terutama pada ulu hati dan perut tetapi sukar untuk mengeluarkan angin itu. Adakah masalah angin terlalu banyak di dalam badan menyebabkan saya sukar mendapat zuriat?
Selepas bersama suami, air maninya keluar dan kadangkala ada darah berwarna coklat keluar. Apakah yang harus saya lakukan?
MIRA,
Seksyen 6, Shah Alam, Selangor.
Jawapan
Belum hamil dalam usia perkahwinan seperti puan bukanlah bermakna puan mempunyai masalah kesuburan. Peluang sesuatu pasangan untuk hamil dalam mana-mana bulan hanyalah 15 hingga 20 peratus saja, bukannya 100 peratus. Ini bermakna, setiap bulan, hanya 15 hingga 20 daripada 100 pasangan saja yang berjaya hamil.
Setelah enam bulan mencuba, 75 daripada 100 pasangan didapati berjaya hamil, manakala selebihnya masih belum hamil. Namun setelah setahun mencuba, keseluruhannya meningkat kepada 85 hingga 93 pasangan yang berjaya hamil dan hanya tujuh hingga 15 pasangan saja yang masih gagal hamil.
Bagi pasangan yang belum hamil ini, peluang seterusnya untuk hamil sendirinya hanyalah sekitar empat peratus saja. Memandangkan peluang hamil masih tinggi pada setahun pertama mencuba, kebanyakan doktor lazimnya menasihatkan agar tidak tergesa-gesa mendapatkan rawatan kesuburan kerana ia sebenarnya mungkin tidak perlu untuk pasangan terbabit.
Ujian dan rawatan berkenaan bukan saja memerlukan perbelanjaan, malah masa untuk temu janji yang tidak tetap tetapi lebih bergantung kepada hari kitaran haid wanita.
Dalam keadaan tertentu misalnya sudah pun diketahui mempunyai penyakit berkaitan kesuburan seperti penyakit peradangan pelvis, endometriosis ataupun jika usia wanita mencecah 35 tahun ke atas, tidak perlu menunggu selama ini. Malah mereka digalakkan memulakan rawatan kesuburan setelah enam bulan mencuba.
Bagaimanapun, anda dan suami masih boleh terus berjumpa doktor tanpa menunggu lagi untuk memulakan penyiasatan awal. Anda mungkin hamil dengan sendirinya dalam tempoh pemeriksaan terbabit
Lazimnya, penyakit berkaitan kesuburan tidak menyebabkan masalah angin dan sakit ulu hati sebagai masalah utama. Anda boleh berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan berkaitan masalah itu walaupun ia tidak berkait dengan kesuburan.
Seeloknya, berjumpa doktor pakar sakit puan anda untuk mendapat kaunseling lanjut mengenai peluang kehamilan secara amnya. Anda juga boleh menjalani pemeriksaan kesihatan secara am dan boleh memilih untuk menjalani pemeriksaan kesuburan asas.
Pemeriksaan pintu rahim (serviks) menggunakan alat spekulum dan ujian pap smear juga mungkin turut dilakukan, terutama memandangkan anda mengalami pendarahan selepas hubungan seks, ini tiada kaitan dengan kesuburan namun penting untuk diperiksa.
Perlu difahami, faraj bukanlah anggota yang mempunyai bentuk atau alat penyokong sehingga dapat menampung semua air mani yang masuk ke dalamnya. Faraj berada dalam keadaan bertaup dan pipih pada keadaan biasa. Hanya dengan kemasukan zakar atau alat lain, faraj membuka dan memberi ruang kepada kemasukan alat terbabit, kemudian mencengkamnya.
Setelah zakar dikeluarkan (ataupun setelah zakar mengendur semula), bukaan faraj kembali kepada keadaan asalnya iaitu hendak bertaup semula dan menyebabkan apa-apa yang terperangkap di antaranya seperti air mani atau angin boleh terkeluar semula.
Wanita tidak memerlukan air mani yang banyak bertakung di dalam faraj untuk hamil. Yang lebih penting adalah bilangan dan kualiti sperma yang terkandung di dalam baki air mani yang tinggal di dalam faraj.
Selain itu, bukan air mani yang sepatutnya masuk ke dalam ruang rahim menuju ke dalam tiub falopio untuk mensenyawakan telur, tetapi hanyalah sperma yang berenang menembusi mukus serviks dan terus ke dalam tiub falopio melalui ruang rahim.

By Ustaz Fathi Yusuf (Graduan ijazah undang-undang syariah UIAM dan master undang-undang UKM) & Ustazah ros Izanuri Jamaluddin (Graduan Bahasa Arab UIAM)

99 Nama Allah (Pengertian dan fadhilatnya) Part 5

AL-HAFIZ
Yang Maha Memelihara. Allah S.W.T. Maha Penjaga, tidak sukar dan tidak berat baginya untuk menjaga dan memelihara langit dan bumi berserta isinya.


Ya-Hafiz
Mereka yang berzikir "Ya Hafiz" sebanyak 16 kali setiap hari atas izin allah akan terlindung dari bahaya.


AL-MUQIT
Yang Maha Pemberi Kecukupan. Allah S.W.T. Yang Maha Memberi Kecukupan kepada makhluknya.


Ya-Muqit
Asma ini mempunyai fadhilat memperbaiki sifat-sifat buruk dari anggota keluarga kita, serta dapat memperkuat peribadi kita sendiri, insyallah.


AL-HASIB
Yang Maha Menghitung atau Penjamin. Allah yang menghitung amalan dosa dan pahala manusia dan jin pada hari hisab.


Ya-Hasib
Mereka yang berzikir "Ya Hasib" setiap hari, insyallah akan terhindar dari bahaya serta dibebaskan dari rasa takut.


AL-JALIL
Yang Maha Luhur. Allah S.W.T. Pemilik segala keagungan, kekayaan dan kesucian serta kemuliaan yang tiada bandingannya.


Ya-Jalil
Mereka yang berzikir "Ya Jalil" sebanyak 73 kali setiap hari, baik pagi dan petang, mahupun tengah malam, insyallah akan mengalami perubahan yang baik dalam kehidupan keperibadiannya.


AL-KARIM
Yang Maha Mulia. Allah S.W.T. adalah Zat Yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia

Ya-Karim
Mereka yang menyebut-nyebut zikir "Ya Karim" sebanyak 280 kali setiap menjelang tidur, insyallah akan mendapat kemuliaan dan kehormatan dalam hidup.


AR-RAQIB
Yang Maha Mengawasi. Allah S.W.T. Maha Mengawasi yang sentiasa waspada terhadap semua makhluknya sehingga tidak mungkin ada yang terlepas dari pengawasannya.


Ya-Raqib
Mereka yang membiasakan membaca Asma ini dengan segala keikhlasan hati, insyallah akan sentiasa dijaga Allah S.W.T. dari bahaya yang akan menimpa harta, anggota keluarga dan dirinya sendiri.


AL-MUJIB
Yang Maha Mengabulkan. Allah S.W.T. mengabulkan semua permohonan makhluknya dan hanya Dialah tempat hamba-hambanya memohon pertolongan.


Ya-Mujib
Atas izin Allah S.W.T. mereka yang membiasakan berzikir "Ya Mujib" sebanyak 55 kali setiap solat subuh akan dikabulkan Allah permohonannya.


AL-WAASI'
Yang Maha Luas. Kekuasaan dan Rahmat Allah S.W.T. merangkumi segala makhluknya.


Ya-Waasi'
Atas izin Allah S.W.T. mereka yang berzikir "Ya Waasi'" sebanyak 127 kali setiap hari, maka Allah akan menganugerahkannya kehidupan yang serba cukup serta ditunjukkan jalan keluar dari kesempitan hidup.


AL-HAKIM
Yang Maha Bijaksana dalam mengatur segala urusan dan menjalankan hukum-hukumnya serta sentiasa berjaya.


Ya-Hakim
Mereka yang selalu berzikir menyebut Asma ini, insyallah akan mendapat kurnia kejayaan hidup serta mudah mendapatkan jalan keluar dari kesukaran.


AL-WUDUD
Yang Maha Pencinta. Allah S.W.T. Maha Pencinta terhadap makhluk-makhluknya dan dicintai oleh makhluk-makhluknya pula.


Ya-Wadud
Mereka yang berzikir "Ya Wadud" sebanyak 1000 kali setiap hari terus-menerus, akan berkembang dalam dirinya rasa kasih kepada sesama manusia dan sentiasa akan dikasihi pula oleh yang lain, insyallah.


AL-MAJID
Yang Maha Mulia. Allah S.W.T. dengan Kemuliaannya memberikan segala nikmat yang tiada terhenti-henti kepada makhluknya.


Ya-Majid
Kehormatan, kemuliaan, kesejahteraan dan kesihatan akan dikurniakan Allah kepada yang membiasakan diri berzikir "Ya Majid" setiap hari sebanyak-banyaknya.


AL-BAA'ITS
Yang Membangkitkan. Dia (Allah S.W.T.) yang membangkitkan kembali makhluk-makhluknya pada Hari Kiamat.


Ya-Baa'its
Ketika hendak tidur lalu berzikir "Ya Baa'its" sebanyak 100 kali sambil meletakkan tangan di dada, disertai kekhusyukkan dan kerendahan hati, insyallah Allah Yang Maha Kuasa berkenan memberikan keterangan hati serta ilmu dan hikmah.


ASY-SYAHID
Yang Maha Menyaksikan. Dia (Allah S.W.T.) yang hadir di mana-mana dan tidak ada sesuatu pun yang lepas dari tilikkannya.


Ya-Syahid
Fadhilah zikir "Ya-Syahid" adalah melembutkan hati anggota-anggota keluarga yang membangkang.


AL-HAQQU
Yang Maha Benar. Allah Yang Maha Benar dan tetap ada dalam kebenarannya.


Ya-Haqq
Bila amalan "Ya Haqq" dibaca sebanyak-banyaknya setiap malam, insyallah kita akan sentiasa tetap taat kepada Allah.


AL-WAKIL
Yang Maha Pemelihara. Allah S.W.T. kemampuan untuk mengatasi segala masalah kita dengan cara yang sebaik-baiknya.


Ya-Wakil
Zikir "Ya Wakil" mempunyai fadhilat meredakan hujan lebat yang disertai badai taufan. Selain itu wirid ini insyaallah akan membukakan pintu rezeki dan kebaikan kepada kita jika dibaca 1000 kali.


AL-QAWIYU
Yang Maha Kuat. Allah S.W.T. Maha Kuat dan tidak pernah lemah dan lelah.


Ya-Qawiyu
Dalam keadaan lemah jasmani dan rohani, bila kita membaca "Ya Qawiyu" dan "Ya Matinu" sebanyak 100 kali setiap malam, insyaallah, daya kekuatan kita akan kembali. Selain itu bila kita diperlakukan secara zalim yang sama akan memusnahkan perbuatan zalim itu.


AL-MATIN
Yang Maha Kukuh atau Perkasa. Allah S.W.T. Maha Hebat Kemampuannya serta Maha Teguh keputusannya.


Ya-Matin
Bila kita sedang ada dalam kesulitan, dengan melakukan zikir "Ya Matin" sebanyak-banyaknya disertai dengan ikhlas hati, insyaallah kesulitan itu akan lenyap.


AL-WALIYU
Yang Maha Melindungi. Allah S.W.T. yang sentiasa melindungi hamba-hambanya.


Ya-Waliyu
Barangsiapa yang rajin berzikir "Ya Waliyu" akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah, insyaallah.


AL-HAMID
Yang Maha Terpuji. Allah adalah tumpuan puja dan puji makhluknya.


Ya-Hamid
Zikir "Ya Hamid" merupakan zikir utama untuk mempersembahkan  puja dan puji ke hadirat Allah S.W.T. atas segala keagungannya. Mereka yang membiasakan zikir ini setiap hari akan dihargai dan dikasihi.


AL-MUHSI
Yang Maha Menghitung. Allah S.W.T. yang mengetahui jumlah dan ukuran segala benda serta mengenalinya.


Ya-Muhsi
Mereka yang mengulang-ulang menyebut Asma ini, insyaallah akan memperolehi kemudahan pada Hari Perhitungan.


AL-MUBDI'U
Yang Maha Memulai. Dia (Allah S.W.T.) yang menciptakan makhluk-makhluknya sehingga ada tanpa mencontohi.


Ya-Mubdi'u
Zikir "Ya Mubdi'u" yang dilakukan sebanyak 470 kali setiap hari dengan khusyuk, insyaallah atas kurnianya akan membuat hati dan fikiran menjadi jernih, cerdas dan kreatif.


AL-MU'IDU
Yang Maha Mengulangi. Allah S.W.T. mengatur kehidupan makhluk-makhluknya dan berkuasa mengadakan kembali yang telah lenyap.


Ya-Mu'idu
Bila Asma ini "Ya Mu'idu" diucapkan 124 kali setiap selesai solat lima waktu atau sekaligus 1240 kali di waktu-waktu sepi malam, insyaallah anggota keluarga yang keluar akan kembali dengan selamatnya.











Rabu, 25 Mei 2011

Rasulullah (S.A.W.) Baring Atas Riba Isterinya


Kadang-kadang orang kita silap persepsi dengan menyangka bahawa budaya romantik itu datang dari Barat. Mereka menyangka Islam menganjurkan sikap tegas dalam hubungan lelaki-perempuan, hatta di kalangan suami isteri. Sangkaan begini terbukti silap.
Sebenarnya orang kita masih lagi terbelenggu dengan amalan kebanyakan masyarakat rumpun Melayu yang kadang-kadang malu tak bertempat dan tegas tak kena gaya. Hasilnya mereka tumpul budaya romantis dan kering dalam bercinta.  Yang lebih ganjil lagi, ketika di luar ikatan perkahwinan, mereka bukan main romantik, tetapi bila sudah bernikah, mereka bersikap dingin dan hanya tahu romantik ketika di atas katil.
Sikap ini berbeza dengan sifat romantis Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam yang sentiasa bergaul dengan isteri dengan penuh mesra dan ceria. Kedudukan Baginda yang begitu tinggi di sisi Allah dan masyarakat tidak menghalang Baginda untuk bersama dengan isteri dengan penuh rasa cinta dan kasih.
Hal ini dapat dilihat daripada hadis riwayat Aisyah yang berkata;
لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ رَأْسَهُ فِي حِجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ وَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ
Maksudnya;
"Sesungguhnya Rasulullah SAW sering meletakkan kepalanya di ribaku, sedangkan ketika itu aku sedang berhaid, dan Baginda pula membaca Al-Quran" (Sunan Ibni Majah : 626)
Tidak dinafikan, perasaan cinta antara suami isteri itu kadangkala menebal, dan kadangkala menipis, lebih-lebih lagi dikala isteri dalam keadaan tidak suci ekoran haid dan nifas. Oleh itu, bagi hendak menghangatkan perasaan cinta antara suami isteri, perlu mempunyai daya kreatif masing-masing dalam melahirkan perasaan cinta bergelora.
Dengan hadis ini, Nabi SAW seakan-akan mengajar kepada kita tentang antara tindakan yang perlu dilakukan bagi menghangatkan balik perasaan cinta itu.
Justeru itu, sebagai suami, tidak seharusnya merasa malu untuk meletakkan kepala mereka di riba isterinya. Begitu juga, pihak isteri pula tidak selayaknya merasa janggal dengan tindakan suaminya itu sehingga menganggap tindakan sebegitu seperti tindakan anak dengan ibunya yang mahu bermanja.
Sesungguhnya bermanja antara suami isteri merupakan ibadat disisi Allah, yang melahirkan banyak kelebihan dari sudut keuntungan dunia, mahupun keuntungan di akhirat.
Keuntungan di akhirat adalah dengan balasan pahala, dan keuntungan di dunia adalah dengan kemesraan dan kebahagiaan yang wujud dalam kehidupan berumah tangga.
Dari hadis ini juga, kita akan dapat melihat betapa Islam adalah agama yang cukup memuliakan kaum perempuan berbanding apa yang telah dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah terdahulu.
Orang-orang jahiliyyah terdahulu, memandang perempuan yang berhaid sebagai jijik sehingga mereka meletakkan undang-undang adat mereka yang meletakkan perempuan seperti barang buangan dan barang terpakai.
Apabila datang Nabi SAW, baginda menyeru manusia kepada Islam yang memandang mulia kepada kaum perempuan, walaupun mereka secara fitrah mempunyai masalah bulanan, iaitu Haid dan Nifas.
Kemuliaan ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW yang bermesra dengan isterinya yang sedang berhaid, dengan meletakkan kepala baginda di riba isterinya yang sudah pasti haid itu berada dikemaluan yang berhampiran dengan riba tersebut. Ini ditambahi lagi dengan tindakan nabi SAW membaca Al-Quran di kala kepala baginda SAW berada di riba Isterinya.
Ekoran dari itulah, Imam An-Nawawi (Aun Al-Ma'bud : 1/305.) menyatakan bahawa hadis ini menjadi dalil kukuh bahawa tidak dilarang membaca Al-Quran dalam keadaan berbaring dan bersandar pada orang perempuan yang sedang berhaid, malahan ianya juga menjadi dalil bahawa tidak menjadi kesalahan membaca Al-Quran berhampiran dengan najis.

Ahad, 22 Mei 2011

Kisah Seorang Guru Tadika


Ada seorang cikgu tadika yang tak percaya wujudnya Tuhan. Dia pun berfikir bagaimana hendak mempengaruhi kanak-kanak di tadika tersebut supaya tak percaya wujudnya Tuhan. Tiba-tiba, dia mendapat satu akal...
Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen ini?
Murid-murid : Nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada kan?
Murid-murid : Ada cikgu.
Kemudian guru tadika tadi memasukkan pen itu ke dalam poket dia dan kemudian bertanya lagi..
Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.
Guru tadika : Anak-anak nampak Tuhan tak?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Tuhan ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.
Guru tadika itu sangat gembira kerana tujuannya untuk mempengaruhi kanak-kanak itu berjaya. Tetapi.. dalam kumpulan kanak-kanak itu ada seorang budak yang pintar yang bernama Amin lalu dia pun mengangkat tangan...
Amin : Cikgu, boleh saya cakap sesuatu?
Guru tadika : Boleh, mari ke depan.
Amin : Kawan-kawan nampak cikgu tak?
Murid-murid : Nampak.
Amin : Cikgu ada kan?
Murid-murid : Ada.
Amin : Kawan-kawan nampak otak cikgu tak?
Murid-murid : Tak nampak.
Amin: Cikgu ada otak tak?
Murid-murid : Tak ada.

11 Pesanan Ayah


Kamu bernasib baik sekiranya memiliki kekasih yang sejati, kawan yang setia, dan orang lain yang sentiasa berada disekeliling untuk menyokong setiap tindakan kamu. Tetapi kamu perlu ingat, dua orang yang paling penting dalam hidup kamu adalah ayah dan ibu.
Kamu mesti kuat supaya orang lain tidak dapat mengganggu ketenangan fikiran kamu, jangan terlalu cepat untuk marah, jangan menjadi seorang yang penakut, dan jangan sesekali kamu leka dengan kebahagiaan yang kamu ada sekarang.
Kamu perlu tahu sekiranya kamu mempunyai masalah yang besar, pasti ada orang lain yang mempunyai masalah lebih besar daripada kamu. Jangansesekali berasa putus asa terhadap apa yang kamu lakukan. Terus mengejar terhadap apa yang kamu impikan selama ini.
Belajarlah untuk berjimat, jangan terlalu boros. Pulangan untuk jangka masa panjang adalah lebih baik daripada kepuasan jangka pendek.
Kamu jangan jadi seorang yang kaki ampu. Kamu perlu tegas dengan pendirian kamu sendiri. Buktikan juga bahawa kamu mempunyai harga diri.
Kamu tidak perlu terlalu bergantung terhadap pandangan orang lain terhadap kamu. Lupakan dan cuba buktikan kepada diri sendiri bahawa kamu boleh menjadi lebih baik daripada apa yang mereka fikirkan.
Tidak semua perkara yang kamu lalui sepanjang kehidupan ini adalah menggembirakan.
Jangan sesekali berhenti daripada melakukan perkara yang kamu suka dan bangga terhadap hasilnya.
Sekiranya kamu mencari pasangan hidup, carilah pasangan yang mampu untuk menjamin masa depan kamu, yang dapat memberikan kamu kebahagian, ketenangan dan perlindungan. Tetapi ingat, wang bukanlah segala-galanya.
Perkara paling penting sebelum kamu membuat keputusan hidup kamu adalah restu ayah dan ibu.
Sekiranya ayah dan ibu menghalang kamu daripada melakukan sesuatu perkara, ia bukan bermakna kami seratus peratus tidak setuju. Kami cuba mengingatkan agar kamu tidak tersalah langkah. Sekiranya kamu yakin dengan keputusan yang dilakukan, buktikan kepada kami.