Khamis, 12 Januari 2012

HAKIKAT SOLAT DALAM ISLAM



Apakah HAKIKAT SOLAT DALAM ISLAM? Solat mempunyai kedudukan istimewa dalam islam iaitu antara lain seperti berikut:-

  • Kalimah solat dalam al-Quran diulang sebanyak 117 kali. Ini menunjukkan betapa pentingnya solat dalam kehidupan seharian-harian seorang Muslim dan Muslimah yang beriman kepada Allah s.w.t.
  • Solat difardhukan dengan langsung ketika Nabi s.a.w. menghadap ke hadhrat Allah 'Azza wa Jalla, berbeza dengan ibadah-ibadah lain hanya melalui perutusan jibril. Ini sebagai satu bukti betapa solat sebagai ibadah paling utama.
  • Solat sebagai ibadah paling utama, kerana dengannya seseorang hamba menumpukan sepenuh hati dan pemikiran serta jiwa raganya melakukan pengabadian kepada Allah.
  • Sebagai zikrullah atau mengingati Allah, sebagaimana firmannya bermaksud: "Dirikanlah solat kerana mengingati Aku."
  • Solat yang dilakukan dengan khusyuk maka menjadikan si pelakunya seolah-olah mi'raj menghadap ke hadhrat Allah, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: "Solat itu mi'raj bagi seorang Mukmin."
  • Pernyataan bahawa diri kita hina di sisi Allah, sehingga kita sanggup rukuk dan sujud, kedua-dua perbuatan ini tidak dilakukan kecuali hanya untuk Allah.
  • Mengagungkan dan membesarkan Allah melalui pengucapan, hati dan perbuatan.
  • Berikrar bahawa solat kita, ibadah kita, hidup dan mati kita hanya untuk Allah.
  • Memuji dan bersyukur kepada Allah atas segala nikmat kurniaan-nya yang tidak terhingga.
  • Memohon keampunan atas segala dosa yang kita lakukan.
  • Memohon hidayah dan pelbagai kurniaan yang baik kepada kita di dunia dan di akhirat.
  • Menerusi solat juga kita memohon perlindungan dihindari daripada apa-apa jua keburukan di dunia dan azab yang pedih di akhirat.